Friday, December 24, 2010

PENGAJIAN SEBELUM ADANYA SEKOLAH

Hari ini orang melihat pengajian atau pembelajaran tidak akan berjaya jika tidak ada sekolah yang lengkap, kemudahan yang sempurna dan alat bantuan mengajar yang mencukupi. Pengajian agama juga tidak terlepas dari penilaian sebegitu. Saya tidak nafikan keperluan semua itu dalam memastkan pelajar dapat menimba ilmu dengan selesa dan memberi peluang untuknya mencapai kejayaan dalam pengajiannya. Namun, dalam tulisan ini saya ingin mengajak pembaca untuk kembali ke zaman silam iaitu zaman salafussoleh; bagaimana mereka belajar dan menimba ilmu pada zaman tidak ada sekolah atau institusi pengajian yang canggih seperti hari ini, namun hasilnya lebih cemerlang berkali-kali ganda dari pengajian hari ini.

Saya yakin pembaca akan bersetuju dengan saya jika saya mengatakan; tidak ada hari ini mana-mana tokoh ilmu Islam (Profesor, pemegang PHd dan sebagainya) yang dapat menyamai ulamak-ulamak silam -apatahlagi untuk menyaingi mereka- sama ada dalam penguasaan ilmu atau penghasilan ilmiah (ijtihad, penulisan dan sebagainya). Sekadar menyebutkan beberapa ulamak di bawah;

1. Imam al-Bukhari; menghafal 600 ribu hadis berserta sanadnya. Menghasilkan kitab hadis yang paling diterima sejak zaman beliau hingga ke hari ini iaitu Soheh al-Bukhari yang mengandungi lebih 7000 hadis yang semuanya soheh dengan sepakat ulamak Ahlus-Sunnah. Selain Soheh al-Bukhari, beliau juga menghasilkan kitab at-Tarikh dan al-Adabul Mufrad yang tidak kurang hebatnya dari Sohehnya.

2. Imam Syafi'ie; Pengasas mazhab Syafi'ie, salah satu mazhab empat yang di dunia hari ini. Beliau juga perintis kepada Ilmu Usul Fiqh melalui kitab beliau ar-Risalah. Beliau juga menghasilkan kitab al-Um (8 jilid). Dari usia 15 tahun telah diizinkan gurunya Muslim bin Khalid az-Zanji (mufti Mekah ketika itu) untuk memberi fatwa melihat kepada penguasaan ilmunya.

3. Imam Ahmad; Pengasas mazhab Hanbali. Seorang yang bukan sahaja terkenal dalam fiqh, tetapi juga dalam hadis. Menghasilkan kitab al-Musnad yang menghimpunkan 40 ribu hadis dari Nabi s.a.w..

4. Imam Nawawi; Meninggal dalam usia yang masih muda iaitu 45 tahun, namun telah menghasilkan kitab-kitab yang cukup banyak dan menjadi rujukan dan bacaan umat Islam hingga hari ini, antaranya Riyadhus-Salihin, al-Azkar, al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, Raudhatu at-Thalibin, Tahzib al-Asma' wa al-Lughaat.

Mereka mengharungi perjalanan ilmu tidaklah semudah para pelajar hari ini, tetapi kecemerlangan ilmu mereka mengatasi mana-mana individu berilmu di zaman ini. Di mana rahsia mereka yang tidak ada pada orang hari ini. Mungkin rahsianya ada pada guru yang mendidik atau pada sistem pengajian yang mereka lalui atau mungkin juga pada tempat belajar mereka. Artikel ini tidaklah bertujuan mengungkap semua rahsia itu, cuma sekadar mengajak pembaca berfikir di mana silapnya pendidikan hari ini termasuk institusi agama.

1. Niat; para pelajar hari ini ditanamkan niat tujuan belajar ialah untuk mendapat sijil bagi menjamin pekerjaan di masa depan. Lagi tinggi kelulusan lagi besarlah peluang untuk mendapat pekerjaan yang baik dan bergaji lebih mahal. Para ulamak dahulu, niat sebegini tidak ada, malah mereka tidak pernah kenal apa itu sijil dan tiada kaitan ilmu dengan pekerjaan cari makan. Mereka menuntut ilmu kerana niat dan tujuan yang cukup tinggi iaitu untuk melaksanakan perintah Allah; perintah menuntut ilmu agama, beramal dengan agama dan menyeru manusia kepada agama. Kerana itu, kecintaan mereka kepada ilmu tidak pernah putus sebagaimana tidak pernah putus harapan orang Soleh untuk mengejar keredhaan Allah. Adapun orang hari ini, sebaik mendapat segulung ijazah dan memperolehi pekerjaan yang baik, tamatlah pencarian ilmu mereka. Malah ramai juga yang pencarian ilmu mereka tamat sebaik mereka selesai meluah/mencurahkan segala ilmu di atas kertas peperiksaan.

2. Kesungguhan; orang hari ini tidaklah perlu mengembara jauh untuk menimba ilmu. Sekolah berada berhampiran rumah. Beberapa minit berjalan kaki atau berbasikal sudah sampai di sekolah. Bagi yang tinggal terlalu jauh dari sekolah, biasanya akan menginap di asrama dan jarak asrama dari sekolah lebih dekat dari jarak rumah ke sekolah. Sedang ulamak-ulamak silam merentasi jarak ratusan batu semata-mata untuk menuntut ilmu pada zaman tidak ada kereta, bas apatahlagi kapal terbang. Imam al-Bukhari merentasi perjalanan dari Bukhara (tempat kelahirannya) ke Mekah, Madinah, Baghdad, Basra, Damsyiq dan Kaherah yang jaraknya ratusan KM (malah ribuan) untuk mengumpul hadis dan mencari ilmu. Imam Syafiie mengembara dari Gaza (tanah kelahirannya) ke Mekah, kemudian ke Madinah, ke Yaman, ke Baghdad dan terakhir ke Mesir untuk tujuan yang sama. Ulamak-ulamak dulu mereka berjalan mencari guru sekalipun terpaksa bersusah-payah, adapun orang hari ini guru menunggu mereka di sekolah. Sesuatu yang disukar diperolehi akan lebih disayangi dari sesuatu yang mudah. Inilah penyebabnya orang hari ini tidak menghargai ilmu kerana ilmu bagi mereka mudah dan remeh.

3. Guru; dari guru yang hebat akan lahir murid yang hebat. Lahirnya Imam Syafi'ie kerana gurunya Imam Malik. Lahirnya Imam Ahmad kerana gurunya Imam Syafi'ie. Lahirnya Imam Bukhari kerana gurunya Imam Ahmad. Lahirnya Imam Muslim kerana gurunya Imam Bukhari. Kita hari ini berharap akan lahir dari madrasah-madrasah atau sekolah-sekolah agama pelajar-pelajar yang mahir fiqh, hadis, tafsir......, tetapi kita lupa untuk memerhati adakah guru-guru yang mengajar di madrasah itu orang yang benar-benar bijak tentang fiqh atau hadis atau tafsir sehingga mereka dapat mengajar anak-anak murid untuk lahir seperti mereka. Pepatah Arab ada berkata; "Sesuatu yang tidak kita miliki kita tidak akan dapat memberinya kepada orang lain". Seorang yang tidak mahir Fiqh tidak akan berjaya melahirkan anak murid yang mahir Fiqh. Saya perhatikan yang berjaya hari ini ialah sekolah-sekolah tahfidz. Oleh kerana guru-guru yang mengajar adalah hafidz (menghafal 30 juzuk Quran), mereka berjaya melahirkan hafidz-hafidz seperti mereka. Bagi fiqh pula, yang berjaya ialah pondok-pondok. Oleh kerana tuan-tuan guru yang mengajar adalah orang-orang yang mahir dalam fiqh, maka anak-anak murid yang lahir juga memiliki kehebatan dalam fiqh walaupun sekadar satu jenis fiqh (yakni fiqh Syafi'ie). Adapun sekolah-sekolah agama yang lain, pengetahuan agama murid-murid hanya ala-kadar sahaja walaupun bertahun-tahun belajar agama.

4. Tempat belajar; ulamak-ulamak dahulu adalah kelahiran institusi masjid. Masjid pada zaman ulamak-ulamak silam mewarisi fungsi masjid pada zaman Nabi iaitu bukan sahaja menjadi tempat solat, tetapi juga sebagai madrasah/sekolah untuk melahirkan ulamak-ulamak. Di al-Azhar sendiri suatu ketika dahulu para pelajar melingkungi guru di dalam masjid al-Azhar. Tiang-tiang masjid menjadi tempat bersandarnya guru yang mengajar. Tetapi suasana itu tidak ada lagi sekarang ini. Para pelajar berpindah ke bilik-bilik kuliah sebagaimana pengajian di institusi-institusi pengajian hari ini. Kita tidak ingin mempertikaikan pengajian di bilik-bilik darjah atau bilik-bilik kuliah dan sukar untuk kita mengembalikan pengajian ke masjid dengan meninggalkan bilik-bilik kelas. Namun kita ingin mennyebutkan; ada kelebihan di dalam masjid yang tidak ada di dalam kelas, antaranya; keberkatan masjid, dekatnya pelajar kepada Allah sesuai dengan kedudukan masjid sebagai rumah Allah dan tempat ibadah, pelajar didisipilinkan dengan waktu solat, pelajar-pelajar lebih beradab kerana kemuliaan rumah Allah dan sepanjang masa mereka dalam ibadah dengan berniat iktikaf. Kelebihan masjid ini pasti ada sumbangan besar kepada kehebatan ulamak-ulamak silam.

Kita tidaklah berniat memperkecilkan usaha-usaha yang telah dibuat selama ini oleh banyak pihak. Sekurang-kurangnya ia menyumbang untuk mempertahankan pengajian agama. Namun untuk melahirkan ulamak, tidak cukup dengan apa yang kita lakukan hari ini. Kita perlu mengganda usaha di samping mengubah apa yang perlu diubah terutamanya dalam menanamkan niat/tujuan belajar kepada anak-anak murid kita. Ilmu agama tidak sama dengan ilmu dunia. Ia perlu dituntut dengan ikhlas dan dasar-dasar pengajaran dan pembelajaran mestilah mewarisi perjalanan ilmu Salafus-Soleh walaupun pendekatan berubah mengikut masa.

No comments:

Post a Comment