Monday, December 27, 2010

ROMBONGAN PERTAMA KE YAMAN

Alhamdulillah, hari ini (28/12/2010) rombongan pertama pelajar MANHAl-HPA selamat berangkat ke Yaman untuk mengikuti kursus Bahasa Arab di Yemen Institute For Arabic Language selama tujuh bulan. Mereka terdiri dari pelajar-pelajar berikut;

1. ZULKIFLI BIN RAMLI
2. MOHD KAMEL BIN ISMAIL
3. NIK NUR SOFIAH BINTI JAMALUDDIN
4. NOOR SAADAH BIN MOHD BAKAR
5. NURULHUSNA BINTI YUSUF      
6. FATIMAH BINTI YUSHAR
7. NUR SYAHADAH BINTI ISMAIL
8. NOR UKHTI ZAHRA BT JAWAHIR
9. NOR HAMIZA BINTI MOHD DIN
10. RAIHANA BT ABD RAHIM

Para pelajar diiringi oleh Ustaz Ahmad Adnan dan Ustaz Ahmad Ali. Kepada semua warga HPA, doakan kami selamat sampai dan terlaksana segala tugas.

Sunday, December 26, 2010

BAGAIMANA MELAHIRKAN ANAK SOLEH?

Anak-anak kita adalah simpanan berharga untuk kita di akhirat. Apabila tibanya saat kematian kita di mana segala pahala dari amalan kita terputus, merekalah yang dapat kita harapkan untuk menyambung pahala kita dan mendoakan kesejahteraan kita di alam kubur dan memohon keampunan Allah untuk kita. Sabda Rasulullah -sallallahu 'alaihi wasallam-(bermaksud); “Apabila matinya seorang manusia, terputuslah pahala amalannya kecuali dari tiga perkara iaitu: sedekah jariah, ilmu yang diambil manfaat dengannya dan anak yang soleh yang mendoakan untuknya” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah -radhiyallahu 'anhu-).

Setiap dari kita wajib menjaga dan mendidik anak-anak kita supaya menjadi anak yang soleh. Anak kita adalah tanggungjawab kita. Anak-anak bukan sekadar anugerah Allah kepada kita, tetapi yang lebih besar dari itu mereka merupakan amanah yang dipikulkan Allah ke atas bahu kita. Allah ingin menguji kita; adakah kita bersungguh-sungguh menjaga dan mendidik mereka atau tidak?

“Ketahuilah bahawa harta-benda kamu dan anak-anak kamu adalah ujian (bagi kamu) dan sesungguhnya Allah di sisiNya pahala yang besar” (Surah al-Anfal, ayat 27-28)

Apa makna anak soleh?

Anak yang soleh bukan sekadar anak yang bersopan-santun dan taat kepada ibu-bapa -sebagaimana anggapan kebanyakan kita-, akan tetapi anak yang menjaga agama (Islam). Anak yang soleh ialah anak yang ta’at kepada Allah, yang tahu kewajipannya sebagai hamba Allah dan tahu tanggungjawabnya kepada agamanya. Apabila seorang anak dididik dengan taat kepada Allah dan patuh kepada suruhan agama, Insya’Allah anak itu otomatis akan taat kepada ibu-bapanya dan akan menjaga akhlaknya di mana sahaja ia berada.

Bagaimana mendidik anak menjadi soleh?

Tidak ada cara mendidik anak yang paling baik dan paling berkesan melainkan dengan cara didikan Islam. Langkah pertama ke arah didikan anak yang sempurna ialah keazaman ibu-bapa itu sendiri untuk kembali menghayati Islam dan menghidupkan Biah Islamiyyah (yakni suasana keislaman) di dalam keluarga dan rumah. Hanya anak yang hidup di dalam suasana keislaman yang dapat menghayati Islam dan seterusnya berjaya dibentuk menjadi anak yang soleh.

“Wahai orang-orang beriman! Sahut dan sambutlah seruan Allah dan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang akan menjadikan kamu hidup sempurna”. (al-Anfal: 24)

10 langkah praktis untuk melahirkan anak soleh

1. Didiklah anak-anak kita mengenali Allah
2. Pastikan anak-anak kita sentiasa mendirikan solat dan menjaga ibadah-ibadah wajib yang lain 3. Bekalkan ilmu agama yang secukupnya kepada anak-anak kita?
4. Hidupkan dalam rumah kita Biah Islamiyyah (suasana keislaman). Antara perkara yang dapat kita lakukan untuk tujuan tersebut ialah;
a) Selalu membaca al-Quran di rumah
b) Membiasakan solat-solat sunat di rumah
c) Hidupkan budaya memberi salam
d) Praktikkan adab-adab Islam di dalam rumah.
5. Dekatkan anak-anak kita dengan masjid, mushalla atau surau
6. Tanamkan semangat jihad dan perjuangan Islam ke dalam jiwa anak-anak kita
7. Tanamkan kepada anak-anak kita sikap cintakan ilmu dan majlis ilmu
8. Perhatikan dengan siapa anak-anak kita berkawan.
9. Mohonlah sentiasa dari Allah agar dikurniakan anak yang soleh
10. Sentiasalah memberi pesanan dan nasihat kepada anak-anak kita

Pembaca yang ingin membaca lebih lanjut 10 langkah praktis di atas, sila download (muat-turun) EBOOK "Anak Kita Tanggungjawab Kita" di laman saya yang lain (http://ebook-ilmudanulamak.blogspot.com/).

Insya-Allah dengan melaksanakan langkah-langkah tersebut dengan bersungguh-sungguh dan istiqamah, akan lahirlah di dalam keluarga kita anak-anak soleh yang bukan sahaja dikasihi Allah, tetapi juga menyejukkan mata kita dan menyenangkan masyarakat.

Friday, December 24, 2010

PENGAJIAN SEBELUM ADANYA SEKOLAH

Hari ini orang melihat pengajian atau pembelajaran tidak akan berjaya jika tidak ada sekolah yang lengkap, kemudahan yang sempurna dan alat bantuan mengajar yang mencukupi. Pengajian agama juga tidak terlepas dari penilaian sebegitu. Saya tidak nafikan keperluan semua itu dalam memastkan pelajar dapat menimba ilmu dengan selesa dan memberi peluang untuknya mencapai kejayaan dalam pengajiannya. Namun, dalam tulisan ini saya ingin mengajak pembaca untuk kembali ke zaman silam iaitu zaman salafussoleh; bagaimana mereka belajar dan menimba ilmu pada zaman tidak ada sekolah atau institusi pengajian yang canggih seperti hari ini, namun hasilnya lebih cemerlang berkali-kali ganda dari pengajian hari ini.

Saya yakin pembaca akan bersetuju dengan saya jika saya mengatakan; tidak ada hari ini mana-mana tokoh ilmu Islam (Profesor, pemegang PHd dan sebagainya) yang dapat menyamai ulamak-ulamak silam -apatahlagi untuk menyaingi mereka- sama ada dalam penguasaan ilmu atau penghasilan ilmiah (ijtihad, penulisan dan sebagainya). Sekadar menyebutkan beberapa ulamak di bawah;

1. Imam al-Bukhari; menghafal 600 ribu hadis berserta sanadnya. Menghasilkan kitab hadis yang paling diterima sejak zaman beliau hingga ke hari ini iaitu Soheh al-Bukhari yang mengandungi lebih 7000 hadis yang semuanya soheh dengan sepakat ulamak Ahlus-Sunnah. Selain Soheh al-Bukhari, beliau juga menghasilkan kitab at-Tarikh dan al-Adabul Mufrad yang tidak kurang hebatnya dari Sohehnya.

2. Imam Syafi'ie; Pengasas mazhab Syafi'ie, salah satu mazhab empat yang di dunia hari ini. Beliau juga perintis kepada Ilmu Usul Fiqh melalui kitab beliau ar-Risalah. Beliau juga menghasilkan kitab al-Um (8 jilid). Dari usia 15 tahun telah diizinkan gurunya Muslim bin Khalid az-Zanji (mufti Mekah ketika itu) untuk memberi fatwa melihat kepada penguasaan ilmunya.

3. Imam Ahmad; Pengasas mazhab Hanbali. Seorang yang bukan sahaja terkenal dalam fiqh, tetapi juga dalam hadis. Menghasilkan kitab al-Musnad yang menghimpunkan 40 ribu hadis dari Nabi s.a.w..

4. Imam Nawawi; Meninggal dalam usia yang masih muda iaitu 45 tahun, namun telah menghasilkan kitab-kitab yang cukup banyak dan menjadi rujukan dan bacaan umat Islam hingga hari ini, antaranya Riyadhus-Salihin, al-Azkar, al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, Raudhatu at-Thalibin, Tahzib al-Asma' wa al-Lughaat.

Mereka mengharungi perjalanan ilmu tidaklah semudah para pelajar hari ini, tetapi kecemerlangan ilmu mereka mengatasi mana-mana individu berilmu di zaman ini. Di mana rahsia mereka yang tidak ada pada orang hari ini. Mungkin rahsianya ada pada guru yang mendidik atau pada sistem pengajian yang mereka lalui atau mungkin juga pada tempat belajar mereka. Artikel ini tidaklah bertujuan mengungkap semua rahsia itu, cuma sekadar mengajak pembaca berfikir di mana silapnya pendidikan hari ini termasuk institusi agama.

1. Niat; para pelajar hari ini ditanamkan niat tujuan belajar ialah untuk mendapat sijil bagi menjamin pekerjaan di masa depan. Lagi tinggi kelulusan lagi besarlah peluang untuk mendapat pekerjaan yang baik dan bergaji lebih mahal. Para ulamak dahulu, niat sebegini tidak ada, malah mereka tidak pernah kenal apa itu sijil dan tiada kaitan ilmu dengan pekerjaan cari makan. Mereka menuntut ilmu kerana niat dan tujuan yang cukup tinggi iaitu untuk melaksanakan perintah Allah; perintah menuntut ilmu agama, beramal dengan agama dan menyeru manusia kepada agama. Kerana itu, kecintaan mereka kepada ilmu tidak pernah putus sebagaimana tidak pernah putus harapan orang Soleh untuk mengejar keredhaan Allah. Adapun orang hari ini, sebaik mendapat segulung ijazah dan memperolehi pekerjaan yang baik, tamatlah pencarian ilmu mereka. Malah ramai juga yang pencarian ilmu mereka tamat sebaik mereka selesai meluah/mencurahkan segala ilmu di atas kertas peperiksaan.

2. Kesungguhan; orang hari ini tidaklah perlu mengembara jauh untuk menimba ilmu. Sekolah berada berhampiran rumah. Beberapa minit berjalan kaki atau berbasikal sudah sampai di sekolah. Bagi yang tinggal terlalu jauh dari sekolah, biasanya akan menginap di asrama dan jarak asrama dari sekolah lebih dekat dari jarak rumah ke sekolah. Sedang ulamak-ulamak silam merentasi jarak ratusan batu semata-mata untuk menuntut ilmu pada zaman tidak ada kereta, bas apatahlagi kapal terbang. Imam al-Bukhari merentasi perjalanan dari Bukhara (tempat kelahirannya) ke Mekah, Madinah, Baghdad, Basra, Damsyiq dan Kaherah yang jaraknya ratusan KM (malah ribuan) untuk mengumpul hadis dan mencari ilmu. Imam Syafiie mengembara dari Gaza (tanah kelahirannya) ke Mekah, kemudian ke Madinah, ke Yaman, ke Baghdad dan terakhir ke Mesir untuk tujuan yang sama. Ulamak-ulamak dulu mereka berjalan mencari guru sekalipun terpaksa bersusah-payah, adapun orang hari ini guru menunggu mereka di sekolah. Sesuatu yang disukar diperolehi akan lebih disayangi dari sesuatu yang mudah. Inilah penyebabnya orang hari ini tidak menghargai ilmu kerana ilmu bagi mereka mudah dan remeh.

3. Guru; dari guru yang hebat akan lahir murid yang hebat. Lahirnya Imam Syafi'ie kerana gurunya Imam Malik. Lahirnya Imam Ahmad kerana gurunya Imam Syafi'ie. Lahirnya Imam Bukhari kerana gurunya Imam Ahmad. Lahirnya Imam Muslim kerana gurunya Imam Bukhari. Kita hari ini berharap akan lahir dari madrasah-madrasah atau sekolah-sekolah agama pelajar-pelajar yang mahir fiqh, hadis, tafsir......, tetapi kita lupa untuk memerhati adakah guru-guru yang mengajar di madrasah itu orang yang benar-benar bijak tentang fiqh atau hadis atau tafsir sehingga mereka dapat mengajar anak-anak murid untuk lahir seperti mereka. Pepatah Arab ada berkata; "Sesuatu yang tidak kita miliki kita tidak akan dapat memberinya kepada orang lain". Seorang yang tidak mahir Fiqh tidak akan berjaya melahirkan anak murid yang mahir Fiqh. Saya perhatikan yang berjaya hari ini ialah sekolah-sekolah tahfidz. Oleh kerana guru-guru yang mengajar adalah hafidz (menghafal 30 juzuk Quran), mereka berjaya melahirkan hafidz-hafidz seperti mereka. Bagi fiqh pula, yang berjaya ialah pondok-pondok. Oleh kerana tuan-tuan guru yang mengajar adalah orang-orang yang mahir dalam fiqh, maka anak-anak murid yang lahir juga memiliki kehebatan dalam fiqh walaupun sekadar satu jenis fiqh (yakni fiqh Syafi'ie). Adapun sekolah-sekolah agama yang lain, pengetahuan agama murid-murid hanya ala-kadar sahaja walaupun bertahun-tahun belajar agama.

4. Tempat belajar; ulamak-ulamak dahulu adalah kelahiran institusi masjid. Masjid pada zaman ulamak-ulamak silam mewarisi fungsi masjid pada zaman Nabi iaitu bukan sahaja menjadi tempat solat, tetapi juga sebagai madrasah/sekolah untuk melahirkan ulamak-ulamak. Di al-Azhar sendiri suatu ketika dahulu para pelajar melingkungi guru di dalam masjid al-Azhar. Tiang-tiang masjid menjadi tempat bersandarnya guru yang mengajar. Tetapi suasana itu tidak ada lagi sekarang ini. Para pelajar berpindah ke bilik-bilik kuliah sebagaimana pengajian di institusi-institusi pengajian hari ini. Kita tidak ingin mempertikaikan pengajian di bilik-bilik darjah atau bilik-bilik kuliah dan sukar untuk kita mengembalikan pengajian ke masjid dengan meninggalkan bilik-bilik kelas. Namun kita ingin mennyebutkan; ada kelebihan di dalam masjid yang tidak ada di dalam kelas, antaranya; keberkatan masjid, dekatnya pelajar kepada Allah sesuai dengan kedudukan masjid sebagai rumah Allah dan tempat ibadah, pelajar didisipilinkan dengan waktu solat, pelajar-pelajar lebih beradab kerana kemuliaan rumah Allah dan sepanjang masa mereka dalam ibadah dengan berniat iktikaf. Kelebihan masjid ini pasti ada sumbangan besar kepada kehebatan ulamak-ulamak silam.

Kita tidaklah berniat memperkecilkan usaha-usaha yang telah dibuat selama ini oleh banyak pihak. Sekurang-kurangnya ia menyumbang untuk mempertahankan pengajian agama. Namun untuk melahirkan ulamak, tidak cukup dengan apa yang kita lakukan hari ini. Kita perlu mengganda usaha di samping mengubah apa yang perlu diubah terutamanya dalam menanamkan niat/tujuan belajar kepada anak-anak murid kita. Ilmu agama tidak sama dengan ilmu dunia. Ia perlu dituntut dengan ikhlas dan dasar-dasar pengajaran dan pembelajaran mestilah mewarisi perjalanan ilmu Salafus-Soleh walaupun pendekatan berubah mengikut masa.

Wednesday, December 22, 2010

SANAD MANHAL KEPADA IMAM AL-BUKHARI

Imam al-Bukhari adalah nama yang cukup terkenal. Rata-rata orang Islam –khususnya yang berpegang-teguh dengan agama- amat mengenalinya sekalipun sekadar namanya sahaja. Kemasyuran beliau adalah kerana kitabnya Soheh Imam al-Bukhari. Kitab ini menghimpunkan hadis-hadis Nabi Muhammad –sallallahu ‘alaihi wasallam- yang berjumlah lebih 7000 hadis yang beliau pilih dari 600 ribu hadis yang dihafalnya. Kitab ini telah diterima oleh sekelian ulamak Ahlus-Sunnah Wal-Jamaah dan diakui secara ijmak bahawa semua hadis di dalamnya adalah soheh belaka, tidak ada yang dhaif. Kerana itu, kitab Soheh al-Bukhari dianggap oleh kaum muslimin sebagai kitab yang kedua paling soheh di atas muka bumi ini selepas al-Quran.

Periwayatan (pemindahan) hadis dari Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- dilakukan oleh ulamak melalui pertalian antara murid dan guru yang berantaian hingga kepada Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-. Sebagai contohnya; hadis (yang bermaksud) “Tuntutlah ilmu walaupun ke negeri China”. Di antara yang meriwayatkan hadis ini ialah Ibnu ‘Abdil-Barr di dalam kitabnya Jami’ Bayan al-‘Ilmi wa Fadhlihi [1]. Periwayatan beliau adalah melalui pertalian berikut;
1. Beliau mengambilnya dari guru beliau Ahmad bin ‘Abdullah bin Muhammad yang mengambil dari;
2. Maslamah bin al-Qasim, yang mengambil dari;
3. Ya’qub bin Ishaq al-‘Asqalani, yang mengambil dari;
4. Yusuf bin Muhammad al-Faryaabi, yang mengambilnya dari;
5. Sufyan bin ‘Uyainah, yang mengambilnya dari;
6. Imam az-Zuhri, yang mengambilnya dari;
7. Anas bin Malik (sahabat Nabi) –radhiyallahu ‘anhu-, yang mendengarnya dari;
8. Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-.

Pertalian antara murid dan guru yang berantaian hingga kepada sahabat dan seterusnya kepada Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- itulah yang dinamakan Sanad atau Isnad. Sebelum hadis-hadis direkodkan (oleh Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud dan sebagainya), nama-nama yang berada dalam rantaian Sanad akan menentukan status hadis sama ada dapat diterima atau tidak (yakni soheh atau dhaif atau maudhu’). Dalam rantaian sanad hadis di atas sebagai contohnya, individu yang bernama Ya’qub bin Ishaq al-‘Asqalani oleh ulamak-ulamak penilai rawi (yakni yang ahli dalam ilmu jarh wa ta’dil) beliau didapati seorang pendusta.[2] Kerana itu, hadis di atas di sisi ulamak-ulamak hadis (al-muhaddisin) adalah ditolak.[3]

Namun setelah hadis-hadis direkodkan, generasi berikutnya tidak lagi meriwayatkan hadis secara satu-persatu, akan tetapi meriwayatkan hadis secara terhimpun, dalam erti lain; meriwayatkan kitab himpunan hadis dari ulamak-ulamak sebelum mereka. Maka nama-nama dalam rantaian sanad selepas itu tidak lagi menentukan darjat hadis, akan tetapi ia menunjukkan ikatan atau pertalian di antara seorang murid dengan rantaian para guru (ulamak) bermula dari guru (ulamak) yang ditemuinya dan bersambung guru demi guru hinggalah kepada sahabat dan berakhir dengan Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-. Ia juga penting untuk melihat berapa generasi yang telah direntasi dari zaman Rasulullah hingga ke hari ini.

Sanad atau Isnad (yakni rantaian yang tidak putus kepada Nabi) merupakan keistimewaan umat ini. Walaupun jarak umat hari ini dengan Nabi Muhammad –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah berlalu lebih 1400 tahun, akan tetapi susun-galur pertalian mereka dengan baginda masih tidak putus hingga ke hari ini. Susun-galur atau rantaian ini disimpan oleh para ulamak dan mereka akan menyambungkannya kepada generasi berikutnya khususnya kepada anak-anak murid mereka.

Berikutnya saya kemukakan Sanad MANHAL kepada Imam al-Bukhari dan seterusnya Sanad Imam al-Bukhari kepada Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- bagi hadis yang pertama dalam kitabnya Soheh al-Bukhari.

Sanad MANHAL kepada Imam al-Bukhari

1. Ustaz-ustaz MANHAL-HPA meriwayatkan kitab Soheh Imam al-Bukhari dari;
1. Khadim al-Hadith wa al-Isnad Syaikhuna as-Sayyid Muhammad ‘Abduh Sulaiman al-Ahdal –rahimahullah- (masih hidup, semoga Allah memanjangkan umur beliau), dari:
2. Al-‘Allamah Fakhrul-Islam ‘Abdullah bin Sa’id bin Muhammad ‘Abadi al-Lahji al-Makki –rahimahullah- (meninggal 1410H), dari:
3. Al-‘Allamah ‘Abdurrahman bin Muhammad al-Ahdal –rahimahullah- (meninggal 1372H), dari:
4. Al-‘Allamah Jamaluddin Muhammad bin ‘Abdurrahman bin Hasan al-Ahdal –rahimahullah- (meninggal 1352H), dari:
5. Al-‘Allamah Mufti Diyar al-Yamaniyah as-Sayyid Muhammad bin Ahmad bin ‘Andul-Bari al-Ahdal –rahimahullah- (meninggal 1298H), dari:
6. Al-‘Allamah al-Hasan bin ‘Abdul-Bari bin Muhammad al-Ahdal –rahimahullah- (1293H), dari:
7. Al-‘Allamah ‘Abdurrahman bin Sulaiman al-Ahdal az-Zubaidi –rahimahullah- (1250H), dari:
8. Al-‘Allamah Abu ar-Rabi’ Sulaiman bin Yahya bin ‘Umar al-Ahdal –rahimahullah- (meninggal 1197H), dari:
9. Al-‘Allamah Ahmad bin Muhammad Syarif Maqbul al-Ahdal –rahimahullah- (meninggal 1163H), dari;
10. Al-‘Allamah ‘Imadul-Islam Yahya bin ‘Umar bin ‘Abdul-Qadier al-Maqbul al-Ahdal az-Zubaidi –rahimahullah- (meninggal 1147H), dari:
11. Al-‘Allamah Abu Bakr bin ‘Ali bin Muhammad bin Yusuf al-Battah al-Ahdal –rahimahullah- (meninggal 1099H), dari;
12. Al-‘Allamah Yusuf bin Muhammad bin Yusuf bin Ahmad al-Battah al-Ahdal –rahimahullah- (meninggal 1079H)
13. Al-‘Allamah al-Hafidz at-Thahir bin al-Husain bin ‘Abdurrahman al-Ahdal az-Zubaidi (meninggal 998H), dari:
14. Al-‘Allamah ‘Abdurrahman bin ‘Ali bin ad-Daiba’ as-Syaibani az-Zubaidi –rahimahullah- (meninggal 944H), dari:
15. Al-‘Allamah al-Hafidz Zainuddin Ahmad bin Ahmad bin ‘Abdul-Latif as-Syarji –rahimahullah- (meninggal 893H), dari;
16. Al-‘Allamah al-Hafidz Abu ar-Rabi’ Sulaiman bin Ibrahim bin bin Umar bin ‘Ali al-‘Alawi –rahimahullah- (meninggal 825H), dari;
17. Al-‘Allamah al-Hafidz Burhanuddin Ibrahim bin ‘Umar bin ‘Ali al-‘Alawi –rahimahullah- (meninggal 752H), dari;
18. Al-‘Allamah al-Hafidz Abul-‘Abbas Ahmad bin Abil-Khair bin Mansur as-Syamakhi as-Sa’di az-Zubaidi –rahimahullah- (meninggal 729H), dari;
19. Al-‘Allamah al-Hafidz Abul-Khair bin Mansur as-Syamakhi as-Sa’di az-Zubaidi –rahimahullah- (meninggal 680H), dari;
20. Al-‘Allamah al-Imam Abu Bakr bin Ahmad bin Muhammad as-Syarahi az-Zubaidi (meninggal 642H), dan Al-‘Allamah al-Hafidz Jamaluddin Abi ‘Abdillah Muhammad bin Ismail bin ‘Ali al-Khadhrami ad-Dhahwi (meninggal 651H) –rahimahumullah-, dari;
21. Al-‘Allamah al-Hafidz al-Imam Taqiyyuddin Abu ‘Abdillah Muhammad bin Ismail bin ‘Ali bin Abi as-Shaif al-Yamani al-Makki (meninggal 609H), dan al-‘Allamah al-Hafidz Zi al-Nun Yunus bin Yahya bin Abi al-Barakat al-Hasyimi al-Qassar (meninggal 608H) –rahimahumullah-, dari;
22. Al-‘Allamah Abul-Hasan ‘Ali bin Humaid bin ‘Ammar al-Atrabulsi al-Makki al-Ansari (meninggal 576H) –rahimahullah-, dari;
23. Al-‘Allamah Abu Maktum ‘Isa bin Abi Zar ‘Abd bin Ahmad bin Muhammad al-Harawi –rahimahullah- (meninggal 497H), dari;
24. Al-‘Allamah al-Hafidz Abu Zar al-Harawi al-Maliki –rahimahullah- (meninggal 434H), dari:
25. Abu Muhammad ‘Abdullah bin Ahmad bin Hamawaih as-Sarakhsi (meninggal 381H), dan al-Allamah Abu Ishaq Ibrahim bin Ahmad Al-Mustamli (meninggal 376H), dan al-‘Allamah Abu al-Haitsam Muhammad bin Makki bin Zurra’ al-Kusymihani (meninggal 389H) –rahimahumullah-, dari;
26. Al-‘Allamah al-Hafidz Abu ‘Abdillah Muhammad bin Yusuf bin Matar al-Firabri (meninggal 320H) –rahimahullah-, dari:
27. Imam al-Bukhari (Al-Imam al-Hafidz Amir al-Mukminin fil-Hadith Abu ‘Abdillah Muhammad bin Ismail al-Bukhari) (meninggal 252H) –rahimahullah-.

Dari Imam al-Bukhari kepada Rasulullah pula -bagi hadis yang pertama dalam kitab Soheh al-Bukhari iaitu hadis “Segala amalan bergantung dengan niat-niatnya”, sanadnya ialah;
1. Beliau menerimanya dari guru beliau ‘Abdullah bin az-Zubair al-Humaidi (meninggal tahun 219H), yang mengambilnya dari;
2. Sufyan ibn ‘Uyainah (meninggal 198H), yang mengambilnya dari;
3. Yahya bin Said (meninggal 143H), yang mengambilnya dari;
4. Muhammad bin Ibrahim at-Taimi (meninggal 121H), yang mengambilnya dari;
5. ‘Alqamah bin Waqqas al-Laithi (meninggal 86H)[4], yang mengambilnya dari;
6. Saidina ‘Umar bin al-Khattab (sahabat Nabi, meninggal 24H ), yang mendengarnya dari;
7. Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-.

Guru-guru MANHAL telah membaca Soheh Imam al-Bukhari di hadapan Syeikh Muhammad bin Abduh bin Sulaiman al-Ahdal (dari Yaman) dalam Daurah Hadith yang berlansung selama 2 bulan (Ramadhan dan Syawal 1431H) di Dewan Kuliah Thib Nabawi, Sungai Petani. Jutaan terima kasih –dengan lafaz Jazakallahu Khairan Kathira- diucapkan kepada Tn Hj Ismail kerana atas persetujuan beliaulah Syeikh Muhammad bin Abduh bin Sulaiman di bawa ke sini walaupun kos yang terpaksa ditanggung oleh HPA agak besar juga.

Atas amanah dari Syeikh dan sebagai khidmat MANHAL kepada warga HPA dan umat Islam, saya bercadang untuk memperluaskan sanad ini kepada seluruh warga HPA supaya rantaian kepada Imam al-Bukhari ini dan seterusnya kepada Rasulullah menjadi milik semua warga HPA. Bagi anak-anak tuan-tuan/puan yang belajar di MANHAL, insya Allah sanad ini akan menjadi milik mereka apabila mereka tamat pengajian dari MANHAL nanti. Di samping menghafal al-Quran, mereka juga akan talaqqi hadis dan akan dikurniakan Sanad al-Quran dan al-Hadith di samping syahadah, diploma dan ijazah. Selain Sanad Soheh al-Bukhari, MANHAL juga mempunyai sanad-sanad kitab hadis yang lain iaitu;
1. Soheh Imam Muslim
2. Sunan Abi Daud
3. Sunan at-Tirmizi
4. Sunan Ibnu Majah
5. Sunan an-Nasai
6. Muwatta Imam Malik
7. Musnad Imam Ahmad
8. Musnad Imam as-Syafi’ie

Segala kurniaan adalah milik Allah yang diberinya kepada hamba-hamba yang dipilihNya. Semoga kita tidak dikecualikan Allah dari mendapat kurniaNya dan kurniaan Allah yang terbesar sudah tentu hidayahNya di dunia dan syurgaNya di akhirat.

Nota hujung;

[1] Lihat; Bab Qauluhi –sallallahu ‘alaihi wasallam- “Thalabul-‘ilmi Faridhah…”, hadis no. 29.
[2]Lihat; Faidhul-Qadier, Imam an-Munawi, hadis no. 1111. Lihat juga; Lisan al-Mizan, Imam Ibnu Hajar, no. 1090 dan Mizan al-I’tidal, Imam az-Zahabi, no. 9804.
[3] Berkata Imam al-Baihaqi; “Hadis ini masyhur diperkatakan, namun semua sanad hadisnya adalah dhaif” (Lihat; Imam al-‘Iraqi dalam takhrijnya terhadap hadis-hadis Ihya’ Ulumiddin). Menurut Imam Ibnu Hibban; “Hadis ini adalah batil, tiada asal-usulnya”. Menurut Imam Ibnu al-Jauzi; “Hadis ini adalah maudhu’ (palsu). (Lihat; Faidhul-Qadier, Imam al-Munawi, hadis no. 1110).
[4]Beliau meninggal pada zaman Khilafah ‘Abdul Malik bin Marwan. Imam Ibnu Atsir menyebutkan tentang kematiannya dalam kitabnya al-Kamil dalam peristiwa tahun 86H. (Lihat ta’liq terhadap Siyar A’lami an-Nubalak, al-Maktabah as-Syamilah).

Saturday, December 18, 2010

I-LIFT......program pendidikan untuk anak kesayangan anda di TADIKA MANHAL-HPA

Ke mana halatuju pendidikan anak-anak kecil kita?

Agak jarang kita bertemu dengan orang Islam yang berminat dengan Pendidikan Islam awal kanak-kanak (1 - 6 tahun), maksud saya orang yang mengkaji apakah sistemnya yang benar-benar menepati kehendak al-Quran dan as-Sunnah, apa halatujunya dan bagaimana perlaksanaan yang paling tepat yang dapat membuahkan hasil dan mencapai matlamat. Tidak dinafikan, semua kita yang ada anak mengambil berat menghantar anak-anak ke Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA), Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) atau seumpamanya. Namun berapa ramai dari kita yang berminat mengambil tahu apa yang diajarkan kepada anak-anak kita di TASKA atau TADIKA itu. Apa sistem yang dipakai dan apa halatujunya. Bagaimana pula akhlak dan syakhsiah guru-gurunya? Kita ingin melihat anak-anak kita menjadi Muslim yang soleh, namun kita tidak serius menyediakan landasan untuk anak kita menuju ke arah itu. Apakah dengan hanya keinginan, cita-cita kita menjadi kenyataan? Sudah tentu jawapannya; tidak. Anak yang soleh tidak akan lahir melainkan dengan kesungguhan ibu-bapa menyediakan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak termasuklah memastikan Pusat Asuhan atau Pusat Didikan terbaik yang menepati tujuan yang ingin dicapai untuk anak kesayangan kita, dan seterusnya memilih sekolah-sekolah terbaik (bagi peringkat rendah dan menengah). Apabila telah sampai di peringkat tinggi (diploma atau ijazah), ia bukan lagi pilihan ibu-bapa tetapi kebiasaannya pilihan anak itu sendiri.

Saya bertuah kerana dapat mengikuti sesi pembentangan oleh Tn Hj Nasaruddin, Pengasas Madraasah Alwahidah yang berpusat di Kuantan, Pahang (Sabtu, 10.30 - 11.30, di Dewan MANHAL Aman Jaya, Sg Petani). Beliau mrmbentangkan program pendidikan untuk anak-anak awal usia (dari umur setahun hingga seterusnya) yang diasaskan oleh beliau sejak 1997 yang diberi nama I-LIFT. I-LIFT adalah singkatan bagi;

I Islamization of Knowledge
L Learning Through Play / Experiment
I Integrative Learning
F Five Senses Stimulation / Enchancement
T Total Child Development

Mengamati pembentangan beliau, saya dapat melihat ke mana program pendidikan beliau ingin membawa anak-anak kita, iaitulah kepada makrifatullah ALLAH (mengenal Allah). Anak-anak diasuh untuk mengenal, membaca, menulis, mengira, berfikir kreatif, namun itu hanyalah wasilah untuk sampai kepada hadaf yang menjadi tujuan sebenar pendidikan iaitu mengajar mereka mengenal Allah dan mengetahui tujuan hidup. Sebagai contohnya, dalam aktiviti mengesan benda-benda yang bermula dengan huruf tertentu (A, B, C dan sebagainya); dalam buku kerja kanak-kanak yang biasa, arahan yang diberikan ialah; "Cari benda-benda di bawah yang bermula dengan huruf C dan warnakan". Namun dalam buku kerja ILIFT, arahan berbunyi; "Cari benda-benda di bawah yang bermula dengan huruf C dan warnakan dengan warna merah bagi yang diciptakan Allah dan dengan warna biru bagi benda buatan manusia". Jadi arahan ini walaupun nampak biasa, akan tetapi ia telah dimasukkan unsur mengenal Allah Maha Pencipta.

Meletakkan matlamat pendidikan "untuk mengenal Allah", itulah sebenarnya yang dikehendaki oleh Islam. Kita semua mengetahui bahawa ayat pertama turun kepada Nabi Muhammad s.a.w. mengajak manusia mengenal Allah. "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Ia mencipta manusia dari 'alaq..." (Surah al-Alaq, ayat 1). Dari ayat-ayat al-Quran yang berjumlah 6000 lebih, ayat ini dipilih oleh Allah menjadi ayat pertama. Apa isyarat yang ingin disampaikan oleh Allah kepada kita? Tidak lain ialah; pengajian atau pendidikan hendaklah dimulakan dengan mengenal Allah.

Perkara lain yang menarik dari program I-LIFT ini ialah penekanan kepada pemahaman al-Quran sejak anak-anak di awal usia. Biasanya di mana-mana Pusat Asuhan atau Didikan anak-anak diajar hanya untuk membaca al-Quran. Jarang sekali diajar untuk memahami al-Quran secara serius dengan alasan mereka masih kecil. Kalau adapun hanyalah sekadar menghafal terjemahan surah-surah paling pendek di hujung al-Quran. Tetapi dalam sistem I-LIFT asuhan untuk anak-anak memahami al-Quran amat dititik-beratkan. Malah pembelajaran al-Quran disusun merangkumi semua aspek penghayatan al-Quran;
1. Keimanan kepada Quran
2. Membaca al-Quran
3. Beramal dengan al-Quran
4. Tabligh (Dakwah kepada al-Quran)

Program Pendidikan I-LIFT inilah yang ditawarkan oleh MANHAL-HPA bagi pengajian peringkat Pra Sekolahnya (TADIKA MANHAL-HPA). MANHAL-HPA kini menawarkan pakej pendidikan yang menyeluruh untuk semua peringkat umur merangkumi Pra-Sekolah (TADIKA MANHAL-HPA), Rendah (Sekolah Rendah MANHAL-HPA), Menengah (Sekolah Menengah MANHAL-HPA) dan Pengajian Tinggi (Kolej MANHAL-HPA). Buat masa ini TADIKA MANHAL-HPA hanya beroperasi di Bandar Laguna Merbok, Sg Petani. Tuan-tuan/puan-puan yang berminat menghantar anak atau ingin mengetahui lebih lanjut, sila hubungi Pengurusnya En Takhiyudin (017-2256170).

Friday, December 17, 2010

MANHAL...program melahirkan Ahlul-Zikr

Dari segi bahasa, Ahlul-Zikr dapat diterjemahkan dengan orang yang banyak berzikir. Namun zikir di kalangan orang-orang Melayu seriangkali difahami dengan lafaz-lafaz zikir iaitu Lailaha Illah, Subhanallah, Alhamdulillah dan sebagainya. Adakalanya jampi-jampi dan mentera juga dianggap zikir. Kefahaman yang sempit tentang zikir ini menyebabkan kita akan tersilap dalam menanggapi Ahlul-Zikr; siapa sebenarnya mereka? 

Di dalam al-Quran, Allah menyuruh kita supaya merujuk kepada Ahlul-Zikr apabila ada kemusykilan dalam hidup kita. firmanNya; "Hendaklah kamu bertanya Ahlul-Zikr jika kamu tidak mengetahui" (Surah an-Nahl, ayat 43 dan surah al-Anbiyak, ayat 7). Maksud Ahlul-Zikr dalam ayat ini bukanlah semata-mata orang yang banyak berzikir mengikut pengertian zikir yang difahami oleh kebanyakan orang Melayu. Jika tidak sudah tentu orang-orang yang banyak bezikir dan beribadah semuanya layak untuk memberi fatwa. Namun realiti yang kita lihat betapa ramai orang yang banyak berzikir dan rajin beribadah, tetapi dari segi ilmu agama mereka dibelenggu kejahilan. Malah Ada yang terlibat dengan ajaran salah dan menyeleweng. Maka bagaimana mereka hendak memberi panduan kepada orang lain sedangkan mereka sendiri tidak nampak jalan.

Jadi, siapa sebenarnya Ahlul-Zikr? Terlebih dahulu, kita perlu membetulkan tanggapan kita tentang makna zikir. Perkatan az-Zikr pada asalnya bermakna ingat. Zikrullah bermaksud mengingati Allah. Zikrullah (mengingati Allah) menurut al-Quran dan al-Hadith bukan hanya kepada lafaz-lafaz Zikir yang disebutkan tadi, tetapi merangkumi semua aktiviti manusia untuk mengingati Allah atau memperingatkan orang lain supaya mengingati Allah. Secara terperinci Zikrullah dapat kita senaraikan seperti berikut;
1. Menunaikan solat. Di dalam al-Quran, Allah berkata; "Dan dirikanlah solat untuk mengingatiKu (lizikri)" (Surah Taha, ayat 14).
2. Menuntut ilmu. Majlis ilmu di sisi ulamak tergolong dalam majalis az-Zikr. Imam al-'Ato ketika ditanya "Apa yang dimaksudkan majlis zikir?". Beliau menjawab; majlis mempelajari apa yang halal apa yang haram, bagaimana berjual-beli mengikut Syariat, mempelajari tentang solat, puasa, hukum-hakam perkahwinan dan talak, bagaimana mengerjakan haji dan seumpamanya" (Al-Azkar, Imam an-Nawawi). 
3. Membaca al-Quran dan mengkajinya. Allah berfirman; "Kami menurunkan kepadamu wahai Muhammad akan az-Zikr (yakni al-Quran) supaya kamu menjelaskan kepada manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka berfikir" (Surah an-Nahl, ayat 44). Berkata Ibnu 'Abbas; Ahlul-Zikr ialah Ahlul-Quran (lihat; Tafsir al-Qurthubi).
4. Memberi peringatan dengan berdakwah, mengajar, menyampaikan nasihat. Allah berfirman; "Dan berilah peringatan kerana sesungguhnya peringatan akan member manfaat kepada orang-orang beriman" (Surah adz-Dzariyat, ayat 55).
5. Menyebut nama-nama Allah dan berzikir kepadaNya.
6. Mematuhi perintah Allah kerana semua orang yang patuh kepada arahan Allah itu tandanya ia ingat kepada Allah. Berkata Imam Said bin Jubair; "Semua orang yang beramal/berkerja untuk Allah dengan suatu bentuk ketaatan, ia adalah orang yang mengingati Allah (Zakirullah)" (Al-Azkar).

Setelah kita memahami makna Zikrullah dengan tepat, barulah kita dapat memahami siapa sebenar Ahlul-Zikir yang diperintah oleh Allah untuk menjadi rujukan kita iaitu tempat bertanyakan soalan bila timbul kemusykilan. Betapa besarnya darjat Ahlul-Zikr kerana Allah sendiri yang meletakkan mereka pada kedudukan sebagai rujukan bagi ummah. Mereka ialah individu yang terangkum semua pengertian Zikrullah tadi pada diri mereka. Mereka menguasai ilmu agama, menghafal al-Quran dan hadis serta memahami kandungan keduanya, mengetahui halal dan haram agama, beramal dengan ilmu yang dipelajari, berdakwah menyampaikan ilmu dan peringatan kepada manusia, melazimi ibadah dan zikrullah. 

Ahlul-Zikr tersebutlah yang ingin dilahirkan oleh MANHAL. Sistem pengajian di MANHAL menerapkan sepenuhnya pendidikan Islam yang bersepadu; hafazan al-Quran, pengajian ilmu-ilmu Islam, penguasaan Bahasa Arab, kemahiran akademik dan ketrampilan syaksiyah Islamiyah. Kehidupan harian pelajar MANHAL dimulai dengan al-Quran dan ditutup dengan al-Quran juga. Seawal 7.30-8.30 pagi mereka menghafal al-Quran, diikuti tengahari 12.30-1.30 dan muraja'ah hafalan di sebelah malam dari jam 8.00 hingga 10.00 malam. Di celah-celah masa bersama al-Quran itu mereka akan didedahkan dengan sesi-sesi pengajian Agama, Bahasa Arab dan Akademik. Pendedahan kepada ilmu dengan dilingkungi oleh penghayatan al-Quran, insya Allah akan melahirkan Ahlul-Zikr. Itulah keyakinan kita dan itulah juga yang ingin kita capai.         

Tuesday, December 14, 2010

MENGGERAKKAN MLMS DENGAN BERBEKALKAN ILMU

Hari ini berlangsungnya Program Pelapis PJS di Dewan Omar Mokhtar. Program dijadualkan selama 2 hari (14 Dan 15hb). Perasmian dilakukan oleh Pengarah Urusan Hpa (Tn Hj Ismail). Di antara perkara menarik disentuh oleh beliau dalam ucapannya;
1.Jgn bersama HPA kerana terperangkap atau kerana tiada pilihan lain. Bersiap sedia untuk bersama HPA ketika senang dan susah.
2.  MLM satu kerjaya yang sangat profesional. Bekalan; ilmu perniagaan yang tinggi. 
3. Jangan focus kepada kopi sahaja untuk target jualan tinggi. Cari keunggulan lain dari produk-produk HPA terutama yg berasaskan herba. Antaranya produk dari herba Thib Nabawi antaranya;
- Habbatus Sauda
- Minyak Zaitun
- Madu
4. Wujudkan suasana baru dalam MLM HPA; pengedar terutamanya wanita tak keluar malam untuk menjalankan program MLM. Memadai waktu siang sahaja. Malam adalah untuk keluarga dan Ibadah. 

Dalam tulisan ringkas ini saya ingin menulis sedikit tentang ilmu. Untuk berjaya dalam apa bidang sekalipun yang kita ceburi, selain dari usaha dan kesungguhan kita juga memerlukan ilmu. Ilmu suatu yang hebat sebenarnya. Jika tidak tentunya Allah tidak akan menyebutkan; hanya orang yang berilmu sahaja yang takut kepadaNya. Begitu juga, orang berilmu berada dalam darjat lebih tinggi dari orang beriman tanpa ilmu. Berdasarkan pengalaman saya yang terlibat secara langsung mengkaji MLM dan memerhati perjalanannya, saya mendapati MLM merupakan suatu mekanisme yang cukup berkuasa untuk mewujudkan pasaran yang besar bagi sesuatu perniagaan. Apatahlagi jika sistem tersebut disyariahkan (yakni menjadi MLM Syariah atau MLMS), akan bertambahlah kekuatannya. MLM bukanlah suatu sistem yang haram pada zat atau ainnya. Maka jika unsur-unsur yang dilarang Syarak dibuang darinya jika ada (seperti riba, gharar, penipuan, ghabn dan sebagainya) akan kembalilah ia kepada harus dan halal. Ia seumpama baju yang terkena najis, selesai dicuci bersihlah baju itu dan haruslah kita memakainya walaupun sebelumnya bernajis. 

Namun untuk berjaya dalam MLMS HPA, para ahli, pengedar dan leader hendaklah mengharunginya dengan ilmu yang mantap dan sempurna. Menurut ulamak-ulamak Islam, istilah ilmu bermakna mengetahui sesuatu dengan menepati apa yang sebenarnya. Jadi, hakikat ilmu ialah mengetahui yang benar dan tujuan mencari ilmu ialah untuk kita mengetahui apa yang benar supaya kita dapat beramal dan bertindak dengan benar. Apabila pengetahuan kita benar dan disusuli pula dengan Amal Dan tindakan yang benar, kita pasti Akan beroleh kejayaan. Apa yang kita ingin capai pasti akan menjadi reality, insya Allah. Pada pengamatan saya, senarai ilmu yang perlu dimiliki oleh ahli-ahli HPA untuk berjaya dalam MLMS HPA ialah;

Ilmu tentang Allah Tuhan ar-Razzaq
Ilmu ibadah; am dan khusus (bagaimana menjadikan perniagaan satu ibadah?) 
Ilmu Perniagaan syariah
Ilmu MLM Syariah (aqad-aqad dalam MLMS)
Ilmu adab dan akhlak peniaga muslim
Ilmu tentang konsep dan tujuan harta menurut Islam
Ilmu tentang halal dan haram dalam Islam
ilmu tentang herba dan thib nabawi
Ilmu pengetahuan Produk
Ilmu tentang misi dan visi HPA
Ilmu plan pemasaran HPA
Ilmu strategi perniagaan
Dan sebagainya lagi.

Apa yang saya senaraikan hanya sebahagian sahaja. Pencarian ilmu bagi seorang Muslim yang ingin berjaya tidak pernah ada hadnya. Begitu juga tempoh mencari ilmu juga tidak pernah berhenti pada satu-satu masa. Kerana itu, dalam satu riwayat ada disarankan "Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahat". Untuk melaksanakan saranan ini, ahli HPA perlu menjadi pencinta ilmu yang setia. Hadirilah majlis-majlis ilmu yang dianjurkan; KPJ, PBC, PIC, Kursus Sijil Herbalis, Kursus MLM Syariah, Kuliah-kuliah ilmu di HPAiC, dewan-dewan cawangan dan sebagainya.   

Saturday, December 11, 2010

DAURAH HADIS THIB NABAWI KALI KE 2

Tahniah diucapkan kepada pelajar-pelajar yang telah menamatkan Daurah Talaqqi Hadis (100 Hadis Thibbin Nabawi dari Soheh al-Bukhari) kali ke2 yang diadakan di HPA IC, 11 Disember 2010 (dari jam 9.00 pg hingga 6.00 ptg). Kali ini seramai 33 pelajar telah diberikan ijazah sanad hadis Musallal Awwaliyah dan Sanad Soheh al-Bukhari. Semoga kita dikurniakan ilmu yang bermanfaat oleh Allah dan diberkatiNya.

Friday, December 10, 2010

100 HADIS THIBBUN NABAWI DARI SOHEH AL-BUKHARI

Buku ini mengandungi 106 hadis yang berkaitan dengan Cara Pemakanan Rasulullah  dan Pengubatan Baginda (Thibbun Nabawi). Saya terjemahkannya dan saya buatkan ulasan ringkas bagi setiap hadis sekadar yang diperlukan untuk memahami hadis. Adapun untuk mendalami hadis atau pengubatan Nabi dengan lebih lanjut, pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian buku ini dinasihatkan mengikuti siri kuliah Tn Hj Ismail Ahmad (KPJ, PIC dan sebagainya) yang mengupas Pengubatan JAWI yang pada dasarnya adalah Thibbun Nabawi.

Ke semua 106 hadis dalam buku ini telah saya baca di hadapan guru saya Syeikh Muhammad bin 'Abduh bin Sulaiman al-Ahdal dan beliau memberikan sanad khusus beliau kepada Imam al-Bukhari. Setakat ini 2 Daurah telah dibuat dan seramai 70 orang telah berjaya menamatkan sesi daurah yang berjalan sehari suntuk. Insya Allah Daurah ini akan diadakan lagi bulan-bulan depan. Kepada yang berminat boleh hubungi; 0172980436 (Azira) atau 0192518901 (Us Firdaus). Anda akan dikenakan sedikit bayaran untuk mengisi tabung Pusat Pengajian Islam MANHAL-HPA.