Thursday, January 6, 2011

SYIAH

Akhir-akhir ini saya dihujani pertanyaan tentang Syiah. Ada yang menuduh HPA telah dikuasai Syiah, malah ada yang menganggap Tn Hj Ismail adalah Syiah. Bagi saya suara-suara itu kalau benar ada mungkin datang dari pesaing-pesaing dalam perniagaan. Bagaimana Tn Hj Ismail hendak dikatakan Syiah, sedangkan Dewan Utama HPA diberi nama dengan nama Omar Mukhtar. Nama Omar bagi orang-orang Syiah merupakan nama yang amat jelik. Omar bagi penganut Syiah berada di antara Kafir atau Fasik. Orang yang menggunakan nama Omar atau memberi nama anak dengan nama Omar pasti ia bukan Syiah kerana Syiah amat benci Omar (di samping Abu Bakar).

Sebagai orang yang dekat dengan Tn Hj Ismail, saya melihat beliau seorang yang kuat pegangan Ahlus-Sunnahnya. Saya -malah semua yang mengenali beliau- mengetahui beliau akan mempertahankan Ahlus-Sunnah dengan segenap upaya yang ada padanya. Apabila beliau mengasaskan MANHAL dari peringkat Rendah hingga Menengah dan seterusnya ke peringkat Diploma dan Ijazah, manhaj yang digunakan di semua peringkat pengajian ialah berlandaskan Ahlus-Sunnah. Kitab Aqidah yang digunakan ialah kitab-kitab Ulamak Sunnah. Mazhab Fiqh yang dipelajari ialah mazhab Syafiie. Kitab hadis yang dibaca ialah Bukhari, Muslim dan sebagainya. Semua guru-guru adalah Ahlus-Sunnah. Pelajar yang kita hantar ke luar negara, tidaklah pernah kita hantar ke negara Syiah (Iran), tetapi semuanya kita hantar ke negara Sunni (Mesir, Syria, Indonesia dan terbaru ke Yaman).

Mungkin ada di kalangan warga HPA yang berminat dengan Syiah. Apa daya kita untuk meyakinkan semua orang tentang iktiqad yang kita yakini. Kita berikhtiar sedaya upaya kita, namun yang memberi hidayah ialah Allah dan yang menyesatkan juga adalah Dia. Dunia ini memamg ditakdirkan Allah berencam pegangan dan kepercayaan. Ada Islam dan ada Kafir (Kristian, Budha, Hindus...), ada Sunni dan ada Syiah, ada Sufi dan ada Salafi, malah ada yang tak beragama. Saya meyakini dengan pendekatan yang saya pelajari di al-Azhar. Al-Azhar adalah iniversiti Sunni dan al-Azhar menolak Syiah, tetapi dengan pendekatan hujjah dan bayan, bukan dengan pendekatan kuasa. Al-Azhar tidak pernah menggunakan pengaruhnya di Mesir untuk mendesak Kerajaan Mesir menangkap dan mengurung penganut Syiah di Mesir. Apabila kita menggunakan kuasa terhadap orang yang berhujjah dengan kita, itu maknanya minda kita lemah dan kita tidak yakin dengan diri sendiri. Ingat dalam sejarah, Muktazilah pernah menggunakan pengaruh kuasa untuk menekan Ahlus-Sunnah, namun siapa yang menang di akhirnya? Ahlus-Sunnah kekal hingga hari ini, adapun Muktazilah hanya menjadi kenangan dalam sejarah. Hingga bila-bila pun, kuasa tidak pernah mampu mengatasi hujjah. Kuasa mengundang bangkangan, hujjah pula mengundang keyakinan dan simpati.

Saya juga tidak bersetuju jika orang yang tidak bersetuju dengan kita, kita nafikan rezekinya. Kita halang dia dari pemberian kita, kita nafikan haknya semata-mata kerana ia membangkang kita. Kita menyisihnya dari menumpang rezki dari perniagaan kita kerana dia tidak sama pegangan dengan kita. Di mana rahmat Islam untuk alam yang disebut Allah dalam ayatnya (bermaksud); "Tidak Kami utuskan Engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat untuk sekelian alam" (terjemahan al-Quran) jika semua orang kafir perlu kita bunuh dan semua yang tidak menerima Islam mesti kita sengsarakannya. Jika Yahudi di Madinah tidak mengkhianati Rasulullah s.a.w. pasti mereka juga akan menumpang rahmat di bawah naungan pemerintahan Rasulullah. Namun apakan daya, mereka telah tersilap langkah mengkhianati baginda, kerana itu mereka diusir dari Madinah. Mereka diusir bukan kerana mereka Yahudi, tetapi kerana mengkhianati.

Saya tidaklah terdesak sangat untuk menjawab tuduhan yang tidak berasas tadi bagi pihak HPA. Tn Hj Ismail tidaklah akan bertambah keyakinannya terhadap Ahlus-Sunnah dengan jawapan saya ini dan tidak pula mengurangkan penolakannya terhadap Syiah. Apapun saya percaya kawan-kawan yang bertanya saya tentang soalan tersebut mereka kasih kepada HPA. Bila kita kasih, hati selalu gelisah. Ahli HPA terlalu kasih kepada HPA kerana itu mereka sentiasa gelisah tentang HPA. Namun perlu juga kita sedari; kegelisahan jika berpanjangan atau terlalu kerap ia akan menghakis keyakinan.

5 comments:

  1. salam perjuangan..berat mata memandang berat lagi bahu memikul,sabar bersama mengharungi ujian getir gelombang HPA berpaksikan Al-Quran dan Sunnah..

    ReplyDelete
  2. subhanallah satu jawaban yang sangat bijak dan menyejukkan qalbu. jazakallahu khairan ya Ustaz..Semoga Allah sentiasa membimbing pejuang-pejuang HPA untuk istiqamah diatas jalanNya...

    ReplyDelete
  3. ".....Saya meyakini dengan pendekatan yang saya pelajari di al-Azhar.... "

    Baguslah begitu... bacalah fatwa2 yang dikeluarkan oleh Sheikhul Azhar tentang Shiah ye... Mereka nampak positif saja...takda gelisah ttg Syiah pun...

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  5. tunggulah sampai musuh dalam selimut keluar kan pedangnya,,saat itu tiada lagi yg berguna,, alhamdulillah,,islam sebaik2 agama,, syiah telah menyerupai islam sehingga dikatakan mazhab,,sehingga nyawa orang islam halal dibunuh,,wanita boleh saja bermutaah,,berpandang luas lah diri seperti langit,,maha suci Allah semoga tunjukkan hambanya di muka bumi ini jalan yang lurus,,,

    ReplyDelete